Monday, November 24, 2008

DIBELAI SUAMI

Semalam, rakan isteri ana bertanya pasal had sentuhan antara suami isteri yang boleh membatalkan wuduk. Soalannya:Suami saya membelai rambut saya ketika saya berada dalam keadaan berwuduk. Batal tak wuduk saya?.

Jawapan:Tidak batal. Kerana yang membatalkan wuduk ialah sentuhan kulit lelaki dan perempuan ajnabi. Justeru sentuhan rambut, kuku dan gigi tidak membatalkan wuduk. (al-fiqh al-Islami wa adillatuhu-Dr. Wahbah al-Zuhaily,Jil.1,hlm.276)

Sunday, November 23, 2008

GIGI


Subhanallah... Rasa sakit semakin hilang, tetapi sebatang geraham yang dicabut tidak dapat diganti lagi.

Siang tadi ana ajak Abu Basyar ke Kota Bharu, sebagai teman sebab nak tampal sebatang geraham yang berlubang. Selepas diperiksa, dr. kata kena cabut. Jam 11.30 pagi geraham tersebut selamat dicabut, RM70.00 habis sebagai upah dr.

Terasa kehilangan, bukan RM70, tetapi sebatang geraham yang telah memberi khidmat selama 20 tahun. Bila kunyah makanan, terasa ketidak sempurnaan kunyahan. Kalau lah gigi duk kat luar, nampak sangat kecacatan, nasib baik duk kat dalam mulut, orang tak nampak.

Pengajaran:Hargai lah nikmat Allah sebelum kehilangannya. Sebab manusia biasanya akan hargai sesuatu selepas ketiadaanya.

Saturday, November 22, 2008

ANAK-ASET PERTAMA


Alhamdulillah... dah seminggu berlalu cuti sekolah. Baru dua hari balik kampung bercuti bersama ayah dan bonda. Suasana musim tengkujuh di Kelantan, hujan mencurah-curah tak berhenti-henti. Nampak macam nak banjir tahun ni, sebab tahun lepas tak banjir.

Semalam, anakda no.2 mengeluh "kenapa selalu hujan, bising lah!". Ana kata "Kalau tak hujan, nanti pokok, binatang semuanya mati". Dia menambah "Hujan banyak sangat!". Ana tak dapat menjawab secara spontan dengan jawapan yang meyakinkan. Justeru ana bawa cerita lain untuk menenangkan suasana.

Pengajaran:Kita mesti sentiasa bersedia untuk mengajar dan mendidik. Kerja cikgu ni, bukan waktu P&P sahaja, tetapi full time (sepanjang masa). Bukan didik murid kat sekolah sahaja, tetapi anak kat rumah lagi penting. Bukan masa sekolah sahaja, tetapi cuti sekolah pun ngajar juga. Anak-anak kita, bukan anak orang lain.

Thursday, November 20, 2008

SABAR


Alhamdulillah...Sampai juga kat kampung...satu hari perjalanan, penuh dengan ujian dan pengajaran serta pengalaman.

Bertolak dari Segamat jam 10.30 pagi. Singgah di Bandar al-Mukhtafibillah, Dungun jam 1.45 petang. Sempat berehat sekejap di samping isi perut, petrol, dan solat jamak. Jam 3 ptg, meneruskan perjalanan dalam keadaan hujan mula lebat. Tak sampai 1/2 jam anak no. 4 muntah atas kereta. Singgah sekejap di Bukit Besi, untuk basuh muntah di samping tukar pakaian yang terkena muntah tersebut. Hampir jam 5 ptg baru sampai di Kuala Berang. Berhenti di Permaisuri, kerana anak sulong nak buang air kecil. Hujan turun sepanjang jalan, terpaksa memperlahankan perjalanan. Jam 7.40 malam selamat sampai di kg tumpah darahku.

Pengajarannya:Kesabaran perlu ditahap maksima kerana terpaksa melayan kerenah 5 anak di samping keletihan memandu selama 8 jam. Sepatutnya tahap kesabaran ini perlu diaplikasikan pada setiap hari, bukan hanya pada hari ini.

Tuesday, November 18, 2008

REDHA DENGAN KUFUR=KUFUR

Salam.
Dah 9 hari berlalu, tidak ada yang baru untuk dikongsi di cafe ini.
Walau bagaimana pun, alhamdulillah pada hari ni ana dapat bantu seorang sahabat untuk menukar insuran(konvesional) keretanya kepada takaful. Memang tak seberapa kerja yang ana buat, tetapi ana rasa sesuai dengan kudrat ana. Nak islamkan orang tak mampu, islamkan insuran kereta sahabat yang belum islam boleh lah... Sebagaimana kaedah fiqh "Kalau tak boleh buat semua, jangan tinggal semua".
Untuk perkhidmatan takaful : 0197942300.
Orang Islam, Nama Islam, Insuran pun Islam, Lagi penting parti pun Islam

Monday, November 10, 2008

SUMPAH NAZAR

Ahad lepas ana menyampaikan kuliah dhuha di markaz tarbiah Segamat. Ana sebut sedikit pasal nazar mutlak dan muqayyad. Apa yang menarik ialah soalan pasal lafaz nazar sama ada perlu lafaz sumpah (walillahi) atau tidak?.
Jawapan: Dalam mazhab Syafie isu ini menjadi khilaf. Sebahagian ulama berpendapat tidak sah lafaz nazar tanpa sumpah, tetapi sebahagian mereka berpendapat sebaliknya. Manakala pendapat yang paling sahih ialah nazar dikira sah walau pun tanpa lafaz sumpah.
(كفاية الأخيار/إعانة الطالبين)

AQIQAH-2 KAMBING/LEMBU


Isu:Afdal bagi anak lelaki diaqiqahkan 2 ekor kambing. Manakala anak perempuan seekor sahaja.

Soalan:Kalau aqiqah dengan lembu, adakah perlu 2/7 untuk dapat sunat atau memadai dengan 1/7 sahaja.

Jawapan:Untuk menjawab persoalan ini kita perlu lihat kita perlu lihat kepada tiga perkara.

Pertama:Aqiqah itu sendiri hukumnya sunat muakkad.

Kedua:Afdal aqiqah kambing berbanding lembu kerana ikut sunnah.

Ketiga:Afdal diaqiqahkan dua ekor kambing bagi anak lelaki, Justeru untuk mendapat afdaliyah buat aqiqah dengan lembu, ia memerlukan 2/7 daripada bahagian lembu tersebut.
Kesimpulan:Buat aqiqah dengan 1/7 lembu dah dapat sunat (aqiqah). Jadi kalau 2/7 lembu dapat dua kali sunat (aqiqah dan 2 bahagian)-(الفقه المنهجي)

Saturday, November 8, 2008

NAZAR-SEMBELIH KAMBING


Semalam Abu Basyar mengutarakan satu isu yang berkaitan dengan hukum daging nazar. Isu ini tercetus apabila seorang kenalan yang baru sembuh daripada sakit, memaklumkan bahawa semasa dia sakit dia pernah berkata "kalau aku sihat, aku nak sembelih kambing seekor". Persolannya, adakah dia boleh makan daging kambing yang dinazarkan untuk disembelih?

Jawapannya: Isu ini perlu dilihat dari dua sudut yang berbeza.

Pertama:Adakah sah nazarnya? Kalau dilihat lafaznya secara zahir, sembelih kambing adalah sesuatu yang harus. Ertinya harus bagi seseorang untuk menyembelih seekor kambing atau tidak menyembelihnya. Sesuatu yang harus tidah sah untuk dinazarkan-(الفقه المنهجي). Tetapi jika lafaz itu disertakan dengan niat untuk bersedekah, maka sah nazarnya. Begitu juga ia dikira sah jika dilihat dari sudut adat. Ertinya, mengikut budaya masyarakat Melayu apabila dilafazkan "nak sembelih kambing" ia biasanya menyiratkan maksud bersedekah-(روضة الطالبين).

Kedua: Adakah daging nazar boleh dimakan oleh orang yang bernazar? Tidak boleh, kerana daging tersebut bukan haknya, tetapi hak orang miskin yang layak terima sedekah-(روضة الطالبين، مغني المحتاج).

Tuesday, November 4, 2008

KAHWIN LARI

Seorang sahabat bertanya pasal kahwin lari. Soalannya:Ustaz! Apa hukum perkahwinan dengan dua kali akad, satu di Thailand dan satu lagi di Malaysia?. Berdosa ke tidak, tak bagi tahu ibu bapa pasal perkahwinan tersebut? Berapa marhalah untuk mengesahkan perkahwinan dengan wali hakim?

Jawapan:Pertama-Perkahwinan dengan dua kali akad adalah sah. Kerana yang dikira adalah akad pertama, justeru akad yang kedua tidak menjejaskan akad yang pertama.

Kedua-Berdosa atau tidak kerana tak bagitahu ibu bapa tentang perkahwinan bergantung kepada sebab dan kedaan. Sekiranya perkahwinan itu dirahsiakan daripada ibu bapa yang zalim untuk mengelakkan daripada tergendala perkahwinan yang baik, hukumnya harus. Tetapi sekiranya ia dirahsiakan daripada ibu bapa yang beriman, hukumnya tetap berdosa.

Ketiga-Wali hakim boleh digunakan dalam perkahwinan sekiranya bakal isteri berada dalam jarak dua marhalah(81 km) daripada wali asalnya. (لفقه المنهجي)

SUBUH GAJAH


Seorang rakan bertanya pasal qada' subuh sebab terlewat bangun. Soalannya:Ustaz! saya terlewat bangun tidur. Boleh tak saya qada' solat subuh yang terlepas tu?.

Jawapan:Majoriti ulama' daripada pelbagai mazhab berpendapat bahawa wajib qada' solat yang tertinggal atau sengaja ditinggalkan bagi muslim yang sudah akil dan baligh. (الفقه المنهجي)