Thursday, April 19, 2012

MAKAN SEMUT

Dalam kuliah di Ibn Mas'ud pada 17 April yang lepas, saya sentuh sedikit berkenaan hukum makan atau minum makanan atau minuman yang telah dimasuki semut. Rumusan saya, bahawa ianya boleh dimakan atau diminum selepas semut-semut tersebut dibuang. Namun sebahagian rakan seakan tidak berpuas hati, kerana katanya mereka pernah mendengar hadis tentang sesiapa yang meminum minuman yang dimasuki semut maka ibadatnya tidak diterima selama 40 hari.
Ingin saya jelaskan bahawa hadis yang dimaksudkan tidak pasti kesahihannya bahkan ramai ulama' mempertikaikan kesahihannya. Yang ada ialah larangan memakan semut dan membunuhnya. Justeru saya ingin nyatakan bahawa apa yang saya sebut dalam kuliah adalah hukum berkaitan dengan najis. sekiranya semut terjatuh ke dalam air dan mati, maka kita boleh minum air tersebut selepas membuangnya. Tetapi kalau kita yang sengaja memasukan semut kedalam air dan ia mati lalu kita minum selepas membuangnya, maka hukumnya haram. Hukumnya jelas. Kalau sengaja ianya haram, namun kalau tidak sengaja ia dimaafkan.
Ia berlainan sekali dengan petua-petua untuk menguatkan ingatan, antaranya memakan sisa semut. Petua tidak sama dengan fatwa atau hukum. Ini kerana fatwa adalah peraturan yang mesti diikuti namun petua hanya nasihat yang patut diaplikasi. Oleh itu, kiranya kita ingin menjaga kekuatan minda, bukan sahaja bekasan semut yang perlu dielakan, bahkan organ dalaman binatang pun patut kita hindari.
wallahu aklam bissowab...

Wednesday, April 18, 2012

LARANGAN IDDAH

Terdapat LIMA larangan yang dikenakan ke atas wanita yang kematian suami:
1. bertunang (secara berterus-terang)
2. berkahwin
3. berhias pada diri atau pakaian
4. tidur di rumah selain rumah yang biasa didiami semasa hayat suami
5. keluar dari rumah tanpa ada tujuan penting yang tertentu
PERTAMA: BERTUNANG SECARA BERTERUS-TERANG
Para fuqaha sependapat bahawa wanita yang dalam iddah tidak boleh bertunang ataupun dipinang dengan cara berterus-terang. Namun jika mahu dipinang dengan berkias, maka ia diharuskan sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud, “Tiada larangan ke atas kamu tentang apa yang kamu kiaskan untuk meminang wanita”.
KEDUA: BERKAHWIN
Sebagaimana yang telah disebutkan di awal tadi, tujuan iddah iaitu untuk memastikan rahim bersih dari benih suami. Firman Allah s.w.t., maksudnya: “Dan janganlah melakukan ikatan pernikahan hinggalah sampai tempoh tangguhnya (iddahnya)”. Ayat ini menjelaskan bahawa wanita yang dalam iddah tidak boleh bernikah sehinggalah tamat tempoh iddah tersebut.
KETIGA: BERHIAS DAN BERWANGI-WANGIAN PADA DIRI ATAU PAKAIAN
Wanita dalam iddah wajib menjauhkan diri daripada perhiasan atau berhias-hias sama ada pada tubuh badan mahupun pada pakaian. Malah dianjurkan supaya wanita ini menyatakan kesedihan atas kematian suami dan mengelakkan diri daripada menjadi perhatian lelaki kerana dia berada dalam fasa dilarang bernikah. Ini dapat mengelakkannya daripada perkara-perkara terlarang serta menghindari fitnah.Dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w. ada menjelaskan bahawa tidak dihalalkan bagi wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung lebih dari 3 hari kecuali kerana (kematian) suami. Baginda seterusnya menjelaskan bahawa wanita yang kematian suami tidak boleh memakai celak, tidak boleh memakai pakaian yang berhias-hias dan tidak boleh menggunakan pewangi (perfume), kecuali jika dia membersihkan diri iaitu dengan sedikit haruman sahaja. [Lihat penjelasan lanjut dalam Fath al-Bari, jld 9, hlm. 491].Hadis sahih ini jelas menyatakan bahawa wanita yang kematian suami dilarang memakai wangi-wangian, berhias pada diri atau pakaian termasuk memakai barang kemas pada badan. Dalam hal ini, dianjurkan supaya wanita ini menjauhkan diri daripada memakai pakaian yang menarik perhatian seperti berwarna terang kerana dikhuatiri akan membawa fitnah dan keinginan pada lelaki sedangkan dia masih dalam tempoh larangan berkahwin. Walau bagaimanapun, tidak semestinya wanita dikehendaki memakai pakaian berwarna hitam. Hitam ialah lambang berkabung bagi seluruh penduduk dunia. Harus wanita dalam iddah berpakaian hitam tetapi tiada larangan untuk dia memakai pakaian berwarna lain.Diharuskan juga menggunakan pewangi sekadar untuk menghilangkan bau yang busuk pada badan seperti semasa mandi wajib selepas habis haidh iaitu digunakan pada faraj.Diharuskan pula memakai celak untuk perubatan, tetapi jika mahu dipakai untuk kecantikan, maka ia dilarang.Diwajibkan ke atas wanita untuk tetap menjaga kebersihan seperti mandi, bersyampu, menyabun badan dll tetapi hendaklah mengelakkan daripada menggunakan peralatan yang mempunyai wangian atau sekurang-kurangnya wangiannya sangat sedikit.
KEEMPAT: TIDUR DI RUMAH LAIN
Larangan ini terpakai untuk wanita yang berada dalam iddah kematian suami dan juga iddah perceraian biasa.Ertinya, dilarang tidur di rumah yang bukan menjadi kebiasaannya tidur semasa masih dalam ikatan perkahwinan.Firman Allah s.w.t., maksudnya: “Jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu maka ceraikanlah mengikut masanya dan hendaklah isteri-isteri kamu mengikut iddah dan takutilah Allah tuhan kamu. Janganlah kamu keluarkan isteri-isteri kamu dari rumah-rumah mereka dan janganlah pula mereka keluar darinya kecuali jika datang kebinasaan yang jelas.” [Surah al-Talaq: ayat 1].Dalil ini terpakai ke atas semua wanita yang berada dalam iddah bahawa mereka dilarang meninggalkan rumah yang menjadi tempat tinggal mereka selama ini. Malah suami yang menceraikan juga dilarang menghalau keluar isteri yang diceraikan. Kelonggaran untuk tinggalkan rumah hanya dibenarkan jika ‘datang kebinasaan yang jelas’ seperti banjir, rumah hampir roboh dan sebarang ancaman yang lain.Hujah ini disokong pula oleh hadis sahih bahawa pada satu ketika seorang sahabat wanita bernama Furai’ah telah kematian suami dan memohon kebenaran Rasulullah s.a.w. untuk pulang ke rumah keluarganya. Namun Rasulullah s.a.w. memerintahkannya untuk terus tinggal di rumah yang selama ini didiami sehingga habis iddah iaitu 4 bulan 10 hari. Sabda baginda s.a.w. maksudnya: “Tinggallah tetap di rumah kamu sehingga habis tempoh tangguh (iddah)”.
KELIMA: KELUAR DARI RUMAH TANPA TUJUAN (KEPERLUAN TERTENTU)
Larangan tidur di rumah lain mempunyai kaitan dengan larangan yang kelima iaitu tidak dibenarkan keluar dari rumah jika tiada keperluan atau tujuan tertentu yang penting. Hal ini disepakati oleh majoriti fuqaha. Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Muslim menjelaskan bahawa Jabir bin Abdullah berkata, maksudnya: “Ibu saudaraku telah diceraikan, kemudian dia mahu memetik nakhil (buah kurma) maka seorang lelaki telah melarangnya (daripada keluar memetik nakhil), maka ibu saudaraku pergi bertemu Rasulullah s.a.w., maka baginda bersabda: Bahkan pergilah memetik buah tersebut mungkin kamu dapat bersedekah dengannya atau melakukan perkara yang baik.”Para fuqaha mengqiyaskan hadis ini dengan wanita yang dalam iddah kematian suami bahawa lebih utama lagi untuk membenarkan mereka keluar rumah terutamanya untuk mencari nafkah kerana tidak ada orang yang menanggung nafkah mereka. [Sila ambil perhatian bahawa wanita yang diceraikan, nafkahnya semasa dalam iddah masih ditanggung oleh suami yang menceraikan. Jika suami engkar, buatlah aduan dan tuntutan di Mahkamah Syariah]. Dalam satu hadis yang lain, isteri-isteri para syuhada Perang Uhud yang tinggal berjiran bertemu Rasulullah s.a.w. dan bertanya, maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berasa gusar di malam hari, bolehkah kami tidur di rumah jiran kami? Apabila siang kami akan pulang ke rumah kami.” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Bercakaplah sesama kamu tetapi apabila kamu mahu tidur maka kembali setiap wanita ke rumah masing-masing.”Dalam kitab-kitab fiqh banyak disebutkan tentang keharusan wanita dalam iddah kematian suami untuk keluar dari rumah pada waktu siang tetapi dengan syarat terdapat tujuan tertentu dan penting. Menurut para fuqaha, antara perkara tersebut ialah seperti untuk mencari nafkah dan membeli barang keperluan rumah. Dalam mazhab Maliki pula ditambah penjelasan bahawa perempuan yang berada dalam iddah dilarang keluar untuk ziarah menziarahi, dilarang keluar berdagang (berniaga) (kecuali jika itu sumber nafkahnya), dilarang keluar untuk mengucapkan tahniah (seperti menghadiri majlis perkahwinan, pertunangan, hari jadi dan kelahiran bayi), dilarang keluar untuk mengucapkan takziah (seperti menziarahi orang sakit atau kematian) dan dilarang tidur kecuali di dalam rumahnya sendiri. Majoriti fuqaha juga berpendapat bahawa wanita yang dalam iddah dilarang mengerjakan haji atau umrah.

Wednesday, April 11, 2012

SUMBANGAN SARJANA ISLAM

Cendiakawan islam juga terkenal dalam pelbagai ciptaan dan inovasi termasuk menghasilkan ubat bedil, penggunaan angka sifar dalam matematik dan proses penyulingan bagi memisahkan benda asing dalam campuran cecair.Cendiakawan Islam juga terlibat membina balai cerap untuk mengkaji bintang, peta, glob, kincir air dan angin, bangunan pengisar bijirin serta kereta perisai. Amat malang kegemilangan tamadun Islam tidak terus bersinar tetapi terus malap dan padam ketika berakhirnya pemerintahan kerajaan Abbasiyah.
Ketika itu pelbagai maklumat dan penemuan penting juga dikatakan hilang semasa Perang Salib. Malah mereka seolah-olah cuba menafikan kegemilangan cendiakawan Islam dengan menukarkan nama saintis Muslim dengan pelbagai nama. Antaranya Ibnu Sina kepada Avicenna, al-Biruni kepada Alberuni, al-Battani kepada Albetagnius, Ibnu Haitam kepada Alhazen, al-Khindi kepada Alkindus dan Ibnu Rushd kepada Averroes.Tidak dapat dinafikan kajian serta perkembangan ilmu pengatahuan terutama dalam bidang sains dan teknologi tidak lagi didominasi umat islam.Malah zaman kegemilangan ilmu pada tamadun Islam kini sekadar mampu dikenang dan dibanggakan pencapaiannya. Kini manusia termasuk umat Islam lebih mengenali ilmuan Barat dalam pelbagai bidang.

Sunday, April 1, 2012

INDAHNYA HIDUP BERSYARIAT

Para penyelidik di Universiti Valencia menegaskan bahawa seorang yang berkhalwat dengan wanita akan menyebabkan kenaikan hormon kortisol. Adapun Kortisol adalah hormon yang bertanggungjawab mencetuskan stres dalam tubuh. Jika hormon itu meningkat dalam tubuh dan berulang terus prosesnya, maka yang demikian akan mengakibatkan penyakit serius seperti penyakit jantung dan tekanan darah tinggi. Kita semua tahu hadis yang terkenal yang mengatakan: "Tidak ada seseorang lelaki berkhlawat dengan seseorang wanita kecuali syaitan adalah yang ketiga. Hadis ini menegaskan pengharaman berkhalwat bagi seorang jejaka dengan wanita asing atau bukan mahramnya . Kerana itu Nabi saw melalui syariat ini menginginkan kita menghindari banyak penyakit sosial dan fizikal demi kebahagiaan dunia dan akhirat.