Saturday, December 27, 2008

MAWI vs MAAL HIJRAH


Hari ini, rata-rata rakyat malaysia sibuk bercakap pasal persandingan Asmawi Anim (Mawi) yang akan berlangsung esok. Ada yang kata majlis esok akan berlangsung di JB, tak kurang yang kata di KL dan di rumahnya sendiri. Tapi yang pasti siaran langsung TV3 akan menjadi pilihan mereka untuk menyaksikan artis kesayangan disandingkan.

Ana kira situasi seumpama ini adalah biasa. Cuma yang amat mengecewakan ialah kelupaan kita sebagai umat Islam terhadap Maal Hijrah 1430H pada malam esok gara-gara terlalu teruja dengan persandingan Mawi & Ikin pada jam 12.00 tengahari esok.

Pengajaran:Banyak perkara penting dalam kehidupan kita, namun bukan semuanya kita mampu lakukan. Justeru buatlah pilihan yang tepat supaya kehidupan kita dipenuhi aturcara yang berfaedah.

Thursday, December 25, 2008

MUDHARABAH 15%


Abang Wahab "Kalau encik tak 'claim' , wang caruman encik akan dipulangkan sebanyak 15%". Orang ramai "ya ke, sebelum ni saya tak dapat pun". Abg Wahab "takaful sahaja yang bagi". Orang ramai"saya baru je tahu ni"(perbualan semasa promosi skim takaful motor Syarikat Takaful Malaysia di Segamat Baru)

Kesimpulan:Ramai ahli masyarakat tidak dimaklumkan tentang sistem mudharabah takaful motor dan mudharabah 15% skim takaful motor di bawah Syarikat Takaful Malaysia. Justeru promosi amat penting untuk melariskan produk Islam.

Friday, December 19, 2008

BANJIR

Alhamdulillah...
Jam 9.30 malam tadi kami sekeluarga selamat sampai kat Segamat setelah bercuti hampir sebulan di Bachok, Kelantan. Di sana, sempat juga dua kali banjir, tapi kami tak kena sebab tinggal du kawasan tinggi. Kat Segamat, belum ada banjir besar lagi seperti tahun-tahun lepas.Tapi tak mustahil boleh berlaku banjir, sebab tahun 2008 belum lagi tamat.
Banjir atau tidak, yang penting kita mesti meneruskan kehidupan dengan semangat jihad yang sentiasa baru. Supaya kita selamat daripada thunami maksiat yang sentiasa bermaharajalela. Kerana ia lebih bahaya dariapada banjir. Korban banjir kita boleh lihat, sebaliknya korban maksiat. Mangsa banjir boleh dibantu sebaliknya mangsa maksiat terlalu susah untuk dibantu. Justeru isilah masa kita dan keluarga dengan kurikulum al-Quran. Moga-moga kita berjaya.

Sunday, December 14, 2008

BAPA SAUDARA SABIT

Bismillahirrahmanirrahim.
Satu persoalan yang ditimbulkan oleh rakan isteri ana yang berkaitan dengan isu aurat.
Soalan:Batal tak wuduk bila kita bersalam dengan bapa saudara suami?
Jawapan:Batal. Ini kerana bapa saudara suami bukannya bapa saudara sebenar, kecuali dia diikat disebabkan oleh perkahwianan(sabit). Statusnya tidak sama dengan bapa mertua, kerana bapa mertua diikat untuk selamanya sedangkan dia diikat untuk sementara. Sebagai contoh, jika suami isteri bercerai, si isteri boleh berkahwin dengan bapa saudara bekas suaminya, sedangkan dia tidak boleh berkahwin dengan bapa bekas suaminya. Justeru, wuduk terbatal jika bersentuh dengan bapa saudara suami. Sedangkan wuduk masih sah jika bersentuh dengan bapa mertua.

UJIAN


Dah seminggu berlalu, namun puteri bongsu (sementara) masih lagi sakit. Demam dah ok, tapi batuk belum nampak tanda-tanda nak sembuh. Kalau kira, dah 3 doktor ana jumpa, tapi mereka semua hanya mampu berikhtiar. Yang menyembuh hanya Allah swt.

Kesannya:Sepanjang raya dan cuti sekolah ini, terpaksa lepak kat rumah. Jemputan raya dan kenduri sahabat terpaksa dibatalkan. Mak-mak saudara semua dah bising sebab tak ziarah mereka. Bukan tak nak pergi, tapi tak boleh pergi. Insya Allah, jika puteri sihat, ana sekeluarga akan buat program ziarah setakat yang sempat.

Moral:Sakit adalah ujian Allah, di samping melatih hambanya bersabar, kerana di sebalik kesabaran itu ganjaran pahala yang besar... pahala free, tak nak ke?

Tuesday, December 2, 2008

PUSAKA


Tiga hari lepas, RM3000 peninggalan arwah datuk ana telah dibahagikan kepada ayahda dan adik beradiknya secara sama rata (5 orang, 4 lelaki dan 1 perempuan). Ana nasihat ayahda bahawa cara pembahagian tersebut tidak menepati syarak walaupun semua bersetuju dengan cara tersebut.
Kesimpulan:Harta pada hakikatnya adalah milik Allah swt. Justeru, pembahagiannya perlu ikut syariat Allah, bukannya perasaan/aturan kita. Kadang-kadang kita rasa kita baik bilamana kita buat keputusan untuk membahagi sama banyak harta pusaka di antara adik beradik lelaki dan perempuan. Memang sebagai lelaki, kita membuat sesuatu yang baik kepada adik-beradik perempuan kita, tetapi adakah kita dikira baik oleh Allah swt setelah melanggar hukum al-Quran semata-mata meraikan perasaan kita?.
Oleh itu ingat lah bahawa harta itu milik allah, bahagi lah ikut peraturan Allah swt supaya kita menjadi hamba yang baik dan dikasihi Allah.

Monday, November 24, 2008

DIBELAI SUAMI

Semalam, rakan isteri ana bertanya pasal had sentuhan antara suami isteri yang boleh membatalkan wuduk. Soalannya:Suami saya membelai rambut saya ketika saya berada dalam keadaan berwuduk. Batal tak wuduk saya?.

Jawapan:Tidak batal. Kerana yang membatalkan wuduk ialah sentuhan kulit lelaki dan perempuan ajnabi. Justeru sentuhan rambut, kuku dan gigi tidak membatalkan wuduk. (al-fiqh al-Islami wa adillatuhu-Dr. Wahbah al-Zuhaily,Jil.1,hlm.276)

Sunday, November 23, 2008

GIGI


Subhanallah... Rasa sakit semakin hilang, tetapi sebatang geraham yang dicabut tidak dapat diganti lagi.

Siang tadi ana ajak Abu Basyar ke Kota Bharu, sebagai teman sebab nak tampal sebatang geraham yang berlubang. Selepas diperiksa, dr. kata kena cabut. Jam 11.30 pagi geraham tersebut selamat dicabut, RM70.00 habis sebagai upah dr.

Terasa kehilangan, bukan RM70, tetapi sebatang geraham yang telah memberi khidmat selama 20 tahun. Bila kunyah makanan, terasa ketidak sempurnaan kunyahan. Kalau lah gigi duk kat luar, nampak sangat kecacatan, nasib baik duk kat dalam mulut, orang tak nampak.

Pengajaran:Hargai lah nikmat Allah sebelum kehilangannya. Sebab manusia biasanya akan hargai sesuatu selepas ketiadaanya.

Saturday, November 22, 2008

ANAK-ASET PERTAMA


Alhamdulillah... dah seminggu berlalu cuti sekolah. Baru dua hari balik kampung bercuti bersama ayah dan bonda. Suasana musim tengkujuh di Kelantan, hujan mencurah-curah tak berhenti-henti. Nampak macam nak banjir tahun ni, sebab tahun lepas tak banjir.

Semalam, anakda no.2 mengeluh "kenapa selalu hujan, bising lah!". Ana kata "Kalau tak hujan, nanti pokok, binatang semuanya mati". Dia menambah "Hujan banyak sangat!". Ana tak dapat menjawab secara spontan dengan jawapan yang meyakinkan. Justeru ana bawa cerita lain untuk menenangkan suasana.

Pengajaran:Kita mesti sentiasa bersedia untuk mengajar dan mendidik. Kerja cikgu ni, bukan waktu P&P sahaja, tetapi full time (sepanjang masa). Bukan didik murid kat sekolah sahaja, tetapi anak kat rumah lagi penting. Bukan masa sekolah sahaja, tetapi cuti sekolah pun ngajar juga. Anak-anak kita, bukan anak orang lain.

Thursday, November 20, 2008

SABAR


Alhamdulillah...Sampai juga kat kampung...satu hari perjalanan, penuh dengan ujian dan pengajaran serta pengalaman.

Bertolak dari Segamat jam 10.30 pagi. Singgah di Bandar al-Mukhtafibillah, Dungun jam 1.45 petang. Sempat berehat sekejap di samping isi perut, petrol, dan solat jamak. Jam 3 ptg, meneruskan perjalanan dalam keadaan hujan mula lebat. Tak sampai 1/2 jam anak no. 4 muntah atas kereta. Singgah sekejap di Bukit Besi, untuk basuh muntah di samping tukar pakaian yang terkena muntah tersebut. Hampir jam 5 ptg baru sampai di Kuala Berang. Berhenti di Permaisuri, kerana anak sulong nak buang air kecil. Hujan turun sepanjang jalan, terpaksa memperlahankan perjalanan. Jam 7.40 malam selamat sampai di kg tumpah darahku.

Pengajarannya:Kesabaran perlu ditahap maksima kerana terpaksa melayan kerenah 5 anak di samping keletihan memandu selama 8 jam. Sepatutnya tahap kesabaran ini perlu diaplikasikan pada setiap hari, bukan hanya pada hari ini.

Tuesday, November 18, 2008

REDHA DENGAN KUFUR=KUFUR

Salam.
Dah 9 hari berlalu, tidak ada yang baru untuk dikongsi di cafe ini.
Walau bagaimana pun, alhamdulillah pada hari ni ana dapat bantu seorang sahabat untuk menukar insuran(konvesional) keretanya kepada takaful. Memang tak seberapa kerja yang ana buat, tetapi ana rasa sesuai dengan kudrat ana. Nak islamkan orang tak mampu, islamkan insuran kereta sahabat yang belum islam boleh lah... Sebagaimana kaedah fiqh "Kalau tak boleh buat semua, jangan tinggal semua".
Untuk perkhidmatan takaful : 0197942300.
Orang Islam, Nama Islam, Insuran pun Islam, Lagi penting parti pun Islam

Monday, November 10, 2008

SUMPAH NAZAR

Ahad lepas ana menyampaikan kuliah dhuha di markaz tarbiah Segamat. Ana sebut sedikit pasal nazar mutlak dan muqayyad. Apa yang menarik ialah soalan pasal lafaz nazar sama ada perlu lafaz sumpah (walillahi) atau tidak?.
Jawapan: Dalam mazhab Syafie isu ini menjadi khilaf. Sebahagian ulama berpendapat tidak sah lafaz nazar tanpa sumpah, tetapi sebahagian mereka berpendapat sebaliknya. Manakala pendapat yang paling sahih ialah nazar dikira sah walau pun tanpa lafaz sumpah.
(كفاية الأخيار/إعانة الطالبين)

AQIQAH-2 KAMBING/LEMBU


Isu:Afdal bagi anak lelaki diaqiqahkan 2 ekor kambing. Manakala anak perempuan seekor sahaja.

Soalan:Kalau aqiqah dengan lembu, adakah perlu 2/7 untuk dapat sunat atau memadai dengan 1/7 sahaja.

Jawapan:Untuk menjawab persoalan ini kita perlu lihat kita perlu lihat kepada tiga perkara.

Pertama:Aqiqah itu sendiri hukumnya sunat muakkad.

Kedua:Afdal aqiqah kambing berbanding lembu kerana ikut sunnah.

Ketiga:Afdal diaqiqahkan dua ekor kambing bagi anak lelaki, Justeru untuk mendapat afdaliyah buat aqiqah dengan lembu, ia memerlukan 2/7 daripada bahagian lembu tersebut.
Kesimpulan:Buat aqiqah dengan 1/7 lembu dah dapat sunat (aqiqah). Jadi kalau 2/7 lembu dapat dua kali sunat (aqiqah dan 2 bahagian)-(الفقه المنهجي)

Saturday, November 8, 2008

NAZAR-SEMBELIH KAMBING


Semalam Abu Basyar mengutarakan satu isu yang berkaitan dengan hukum daging nazar. Isu ini tercetus apabila seorang kenalan yang baru sembuh daripada sakit, memaklumkan bahawa semasa dia sakit dia pernah berkata "kalau aku sihat, aku nak sembelih kambing seekor". Persolannya, adakah dia boleh makan daging kambing yang dinazarkan untuk disembelih?

Jawapannya: Isu ini perlu dilihat dari dua sudut yang berbeza.

Pertama:Adakah sah nazarnya? Kalau dilihat lafaznya secara zahir, sembelih kambing adalah sesuatu yang harus. Ertinya harus bagi seseorang untuk menyembelih seekor kambing atau tidak menyembelihnya. Sesuatu yang harus tidah sah untuk dinazarkan-(الفقه المنهجي). Tetapi jika lafaz itu disertakan dengan niat untuk bersedekah, maka sah nazarnya. Begitu juga ia dikira sah jika dilihat dari sudut adat. Ertinya, mengikut budaya masyarakat Melayu apabila dilafazkan "nak sembelih kambing" ia biasanya menyiratkan maksud bersedekah-(روضة الطالبين).

Kedua: Adakah daging nazar boleh dimakan oleh orang yang bernazar? Tidak boleh, kerana daging tersebut bukan haknya, tetapi hak orang miskin yang layak terima sedekah-(روضة الطالبين، مغني المحتاج).

Tuesday, November 4, 2008

KAHWIN LARI

Seorang sahabat bertanya pasal kahwin lari. Soalannya:Ustaz! Apa hukum perkahwinan dengan dua kali akad, satu di Thailand dan satu lagi di Malaysia?. Berdosa ke tidak, tak bagi tahu ibu bapa pasal perkahwinan tersebut? Berapa marhalah untuk mengesahkan perkahwinan dengan wali hakim?

Jawapan:Pertama-Perkahwinan dengan dua kali akad adalah sah. Kerana yang dikira adalah akad pertama, justeru akad yang kedua tidak menjejaskan akad yang pertama.

Kedua-Berdosa atau tidak kerana tak bagitahu ibu bapa tentang perkahwinan bergantung kepada sebab dan kedaan. Sekiranya perkahwinan itu dirahsiakan daripada ibu bapa yang zalim untuk mengelakkan daripada tergendala perkahwinan yang baik, hukumnya harus. Tetapi sekiranya ia dirahsiakan daripada ibu bapa yang beriman, hukumnya tetap berdosa.

Ketiga-Wali hakim boleh digunakan dalam perkahwinan sekiranya bakal isteri berada dalam jarak dua marhalah(81 km) daripada wali asalnya. (لفقه المنهجي)

SUBUH GAJAH


Seorang rakan bertanya pasal qada' subuh sebab terlewat bangun. Soalannya:Ustaz! saya terlewat bangun tidur. Boleh tak saya qada' solat subuh yang terlepas tu?.

Jawapan:Majoriti ulama' daripada pelbagai mazhab berpendapat bahawa wajib qada' solat yang tertinggal atau sengaja ditinggalkan bagi muslim yang sudah akil dan baligh. (الفقه المنهجي)

Friday, October 31, 2008

GURU KENCING BERDIRI...

Beberapa hari lepas, ana mesej kat kawan untuk renew insuran kereta dengan takaful. Kebetulan ana jual produk tersebut... part time... sambil tolong kawan yang takde masa nak urus benda tu, dan yang paling penting nak memudahkan kawan bertukar dari produk tak Islam ke produk Islam. Namun tak ada respon. Walau bagaimana pun Allah pertemukan kami dalam satu majlis idul fitri. Dia nyatakan kepada ana"ana nak ambil insuran ambank, nanti lain kali ana buat dengan takaful".

Selepas pertemuan tersebut, ana merasa amat kecewa. Bukan sebab tak dapat jual produk ana, tetapi kerana produk Islam diketepikan dan produk yang tak Islam dijadikan pilihan. Tambahan pula kawan tersebut adalah seorang ustaz, orang kata, ustaz ni ulama. Sesiapa pun tak boleh nafi, bahawa ustaz kalau kat sekolah, suruh budak-budak ikut Islam. Kalau dalam masyarakat pula, ngajar orang tua supaya ambil Islam sebagai cara hidup.

Ana teringat kata orang-orang tua, "guru kencing berdiri, murid kencing berlari". Kalau kita ustaz dah buat benda haram, jangan rasa hairan yang bukan ustaz buat benda haram murakkab. Jangan duk marah kat budak yang buat nakal sekali sekala, sedangkan kita ustaz duk dalam haram sepanjang tahun.

Justeru, ana menyeru rakan-rakan yang dah jadi ustaz, kembali lah kita kepada sistem Islam dalam menguruskan kehidupan. Walau pun kita maklum masih banyak kekurangan yang terdapat pada produk Islam, tetapi itu bukan alasan untuk ia dipinggirkan. Sebagai mana kaedah fiqh " ما لا تدرك كله لا تترك كله".

Maklumlah kita ni model, tetapi yang lebih penting keberkatan, bahagia dunia dan akhirat.

Sokonglah produk orang kita(Islam)...

Wednesday, October 29, 2008

DARAH SEMASA HAMIL




Ana sekadar berkongsi maklumat di atas persoalan ust. Muzaha yang berkaitan dengan darah semasa hamil. Soalannya:Apakah status darah yang keluar semasa seseorang wanita sedang hamil?

Jawapan:Darah tersebut dikira darah haid sekiranya ia keluar mengikut tempoh haid (sekurang-kurangnya sehari semalam/tempoh maksima 15 hari/malam).

Tetapi jika tempoh keluar darah tersebut kurang dari sehari semalam, ia adalah darah istihadah. Begitu juga darah yang keluar pada hari-hari ke-16,17 dan seterusnya(15 hari pertama dikira tempoh haid).

Ini merupakan pendapat kebanyakan ulama' dalam mazhab syafie, kerana mereka berpegang bahawa haid juga boleh berlaku semasa hamil. Sedangkan terdapat pendapat daif dalam mazhab yang mengatakan bahawa haid tidak boleh berlaku semasa hamil. (الفقه المنهجي)

Tuesday, October 28, 2008

LELAKI BERINAI


Seorang rakan yang nak melangsungkan perkahwinan anaknya, bertanya pasal hukum berinai tangan dan kaki bagi lelaki. Soalannya:Ustaz! boleh tak orang lelaki berinai?


Jawapan:Tidak boleh (haram). Kerana berinai tangan dan kaki adalah termasuk perhiasan perempuan. Sebagaimana mafhum hadis Rasulullah saw bahawa Allah melaknat golongan lelaki yang menyerupai perempuan dan golongan perempuan yang menyerupai lelaki.


Tetapi sekiranya berinai untuk tujuan perubatan, hukumnya harus. Iaitu menggunapakai kaedah fiqh (الضرورات تبيح المحظورات)


(المفصل في أحكام المرأة)

Sunday, October 26, 2008

ZAKAT FITRAH:BAYAR MANA?

Dalam satu ceramah ana di akhir Ramadhan lepas, seorang peserta bertanya tentang tempat yang patut dikeluarkan zakat fitrah. Soalannya:Ust! ana berasal dari Gombak dan bekerja di Putrajaya. Biasanya dua hari sebelum raya ana pulang ke Gombak untuk beraya. Jadi, ana kena bayar zakat fitrah di Putrajaya ke atau di Gombak?
Jawapan:Untuk membayar zakat fitrah, kita perlu mengambil kira tempat (بلد) kita berada pada malam 1 Syawal. Kerana zakat fitrah dikeluarkan di atas sebab idul fitri bukannya sebab puasa. Justeru ia dinamakan zakat fitrah, nisbah kepada fitri. (فتاوىمعاصرة-القرضوي).
Cuma bagi sahabat yang pernah bayar zakat di tempat kerja bukan di kampung tempat beraya, ana ingin berkongsi satu pendapat yang dicetuskan oleh seorang bekas pensyarah UiTM.
Baginya mana-mana negeri adalah dikategorikan sebagai tempat yang sama iatu negara Malaysia. Justeru baginya zakat pendapatan boleh dibayar di Kelantan walaupun seseorang bekerja di KL. Tambah lagi bagi pegawai/staf kerajaan persekutuan, kerana negeri tersebut sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.
Mungkin dalam isu zakat fitrah kita boleh guna konsep yang sama memandangkan al-Qaradawi mengistilahkan (بلد) sebagai tempat. Boleh jadi balad tu kampung, daerah atau negeri, mungkin sebuah negara. Wallahu aklam...

TA'LIK MUAKHKHAR


Ana pernah ditanya oleh seorang rakan tentang hukum cerai yang dita'likkan kepada perkara yang telah berlaku. Ceritanya:ust! kawan ana ada seorang isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa. Satu hari isterinya memberitahu bahawa dia mendapat tawaran kerja. Lalu dia terus berkata kepada isterinya "kalau you terima kerja tu, jatuh talak satu". Sedangkan isterinya telah menerima tawaran tersebut sebelum dia melafaz cerai ta'lik. Bagaimana status ta'lik tersebut?

Jawapan: Cerai ta'lik itu tidak sah. Kerana cerai ta'lik adalah cerai yang dikaitkan dengan sifat atau syarat yang belum berlaku. (المفصل في أحكام المرأة والبيت المسلم)

wallahu aklam

Friday, October 24, 2008

ZAKAT KEPADA AHLI KELUARGA




Soalan:Bolehkah kita membayar zakat kepada adik beradik yang miskin?

Jawapan:Boleh, kerana mereka tidak termasuk ahli keluarga yang wajib kita beri nafkah.

Soalan: Siapakah di kalangan ahli keluarga kita yang boleh diberi zakat dan tidak boleh diberi zakat?

Jawapan:Ahli keluarga kita yang tidak boleh diberi zakat ialah anak cucu dan ke bawah serta ibu bapa dan ke atas. Ini kerana mereka termasuk golongan yang wajib kita beri nafkah sekiranya mereka berada dalam keadaan fakir dan miskin.

Adapun ahli keluarga yang boleh diberi zakat ialah selain daripada mereka (anak cucu ke bawah serta ibu bapa dan ke atas) seperti adik beradik, bapa/ibu saudara, anak saudara dan sepupu.

Namun kita boleh memberi zakat kepada anak cucu dan ke bawah serta ibu bapa dan ke atas sekiranya mereka tergolong dalam asnaf zakat selain fakir dan miskin. Sebagai contoh membayar zakat kepada cucu yang sedang belajar kerana mereka termasuk dalam asnaf fi sabilillah. (الفقه المنهجي)

wallahu aklam...

Thursday, October 23, 2008

KAEDAH KILAT BELAJAR QURAN


Kaedah ringkas:
PERTAMA: Tempoh selama 6 bulan(4bln Iqra' & 2bln quran)
KEDUA : Purata 1.5 muka surat iqra' mesti dikhatamkan setiap hari (1.5 x 120 hari = 180 muka(iaitu 6 buah buku iqra')).
KETIGA : 0.5 juzuk quran perlu dihabiskan setiap hari (0.5 x 60 hari = 30 juzuk).

Untuk makluman sahabat, kaeadah ini telah pun dibuktikan oleh sahabat ana. Anak keduanya menjadi model bagi kaeadah ini, alhamdulillah anak tersebut telah khatam quran semasa umurnya 4 tahun, dan sekarang sedang menghafal surah-surah utama (lima tahun sekarang)...

Cuma yang penting, kita perlu ada azam yang tinggi, kesabaran dan mujahadah yang berterusan di samping doa.

Info:Kita hanya perlukan masa sejam sehari untuk anak kita ngaji quran... ana rasa boleh(cuma belum buat, spt kata ust muzaha "sibuk manjang kat luar rumah").

من جد وجد

selamat mencuba...

Wednesday, October 22, 2008

DIDIK ANAK

Assalamualaikum
Minggu kedua bulan syawal ana pulang dari UKM ke Segamat. Dalam perjalanan pulang ana singgah di rumah seorang sahabat yang terletak di Pedas. Beraya.... kan orang selatan sebulan beraya... Apa yang menakjubkan ana, bila ana dimaklumkan beliau bahawa 2 anak perempuan (5&7tahun) sudah khatam quran. Yang 7 tahun sudah hafal 6 juzuk. Ana sempat mendengar anak-anaknya baca & hafal quran depan ana sendiri.

Pengalaman ini menjadi asas kepada ana untuk menegaskan bahawa sebenarnya kita mampu mendidik anak-anak kita mengaji quran seumpama ulama' terdahulu yang hafal quran sebelum umur 10 tahun. Bak kata pepatah "nak seribu daya tak nak seribu dalih". Ana bersedia kongsi pengalaman sahabat tersebut dengan anda...(bersambung)

Tuesday, October 21, 2008

KEPIMPINAN ULAMA

Bismillahirrahmanirrahim...
Kepimpinan membawa makna pengurusan atau pentadbiran yang didokongi sama ada oleh individu atau sekumpulan manusia ke atas seuatu badan atau pertubuhan atau masyarakat atau negara. Manakala ulama’ pula merujuk kepada sekumpulan manusia yang berilmu dan beramal berdasarkan Al-Quran, As-Sunnah, ijma’ dan qias atau seorang individu yang mempunyai ketinggian ilmu dan kekuatan amalan yang yang didasarkan kepada empat sumber tersebut.
Kepimpinan ulama’ merupakan kesinambungan perutusan para rasul kepada manusia untuk membimbing mereka menguruskan dunia. Dengan kata lain, pengurusan dunia dengan hukum dan nilai Islam tidak akan sempurna tanpa dokongan atau bimbingan ulama’ sedangkan mengurus duniadengan Islam itu wajib ke atas semua umat Islam. Justeru kepimpinan ulama’ menjadi kemestian untuk dimartabatkan bagi menyempurnakan tuntutan tersebut. Sebagaimana kadah feqah yang berbunyi :
َما لَاَيِتمّ الَواجِبُ إِلَا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ
Maknanya : Tidak sempurna sesuatu kewajipan kecuali dengan sesuatu yang lain maka ia juga menjadi wajib.
Perlu diingati bahawa kepimpinan ulama’ itu tidak semestinya dikepalai oleh seorang yang berlatar belakang pengajian agama bahkan harus ianya di ketuai oleh seorang profesional dengan syarat kepimpinanya tidak terkeluar daripada empat rujukan Islam yang telah disepakati oleh para ulama’. Dengan kata lain yang penting dalam kepimpinan ulama’ ialah ia didokongi oleh sekumpulan pentadbir yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukannya. Oleh kerana itu tidak dibimbangi sekiranya PAS diketuai oleh seorang profesional yang tidak berlatar belakang agama kerana dia dipandu oleh perlembagaan PAS yang telah menjadikan Islam asas perjuangan disamping itu juga dia dibimbing oleh Majlis Syura Ulama’.
Berlainan sekali dengan UMNO, siapa sahaja yang menjadi presidennya, maka ketuanya itu akan dipandu oleh perlembagaannya yang memperjuangkan bangsa bukannya Islam… Walaupun Pak Lah yang gelar ustaz telah menjadi khatib jumaat dan imam solat sunat Terawih, namun ia bukan sesuatu yang pelik kerana beliau sebenarnya memperjuangkan ideologi partinya bukannya Islam yang sepatutnya didaulatkan.

KALAM PERTAMA

Assalamualaikum.
Bismillahirahmanirahim
Sejak zaman berzaman, para rasul diutuskan untuk menguruskan dunia ini mengikut peraturan Allah SAW. Kalau tidak pun, mereka disuruh untuk menyeru pemerintah-pemerintah di zaman masing-masing supaya tunduk dan patuh kepada kehendak-kehendak Allah SAW dalam urusan pentadbiran mereka. Justeru, sebagai umat akhir zaman yang tidak ada lagi nabi dan rasul selepas kewafatan Rasulullah SAW, maka Allah mewaris dan mempusakakan tugas kerasulan itu kepada para ulama’ seperti mana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW :
العُــَـلـمَاءُ َوَرَثةُ الأنْـبِــيَـاءِ
Maksudnya: Para ulama’ adalah pewaris para nabi.
Oleh kerana itu intitusi ulama’ menjadi satu agenda yang perlu diwujudkan dalam konteks masyarakat lebih-lebih lagi dalam konteks berjemaah berdasarkan kepada sunnah Rasulullah yang pernah dipertahankan oleh Baginda semasa hidupnya.